Published On: Thu, May 30th, 2013

Pesara guru ditemui mati dipercayai dibunuh di Kampung Sungai Jai, Beranang

KAJANG – Seorang pesara guru ditemui mati dipercayai dibunuh, selepas disamun dalam kejadian di rumahnya di Jalan Mewah Abu Samah, Kampung Sungai Jai, Beranang, di sini, semalam.

Pesara guru ditemui mati dipercayai dibunuh di Kampung Sungai Jai, Beranang

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Gambar kecil: Khalijah Abu Samah. Foto- sinarharian

Mangsa, Khalijah Abu Samah, 74, ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di bahagian ruang tamu berhampiran pintu dapur rumahnya.

Mangsa yang tinggal bersendirian ditemui oleh jirannya seorang warga Indonesia, Ahmad Zaini Kasmuri, 54, kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Zaini ketika ditemui berkata, sebelum kejadian, dia yang berniaga sayur keluar rumah untuk ke pasar pada jam 7 pagi.

Menurutnya, apabila kembali semula ke rumahnya kira-kira tiga jam kemudian, dia mendapati rumah mangsa kosong.

Katanya, dia bagaimanapun melihat terdapat sebuah motosikal hitam jenis Yamaha 125Z diparkir berdekatan pagar laman rumah mangsa.

Ahmad Zaini berkata, dia kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk meletakkan barang, sebelum bergegas ke rumah mangsa untuk menjenguknya.

“Biasanya kalau saya balik setiap hari dari pasar, kakak (mangsa) akan duduk di luar rumah, tetapi hari ini (semalam) tiada.

“Saya rasa tak sedap hati dan terus pergi ke rumah kakak. Apabila saya tolak pintu dapur, nampak kakak sudah tertiarap tidak sedarkan diri di kawasan ruang tamu rumah,” katanya.

Kepala ditutupi tudung

Ahmad Zaini berkata, ketika ditemui kepala mangsa ditutup dengan tudung dan terdapat kesan darah yang banyak sehingga ke lantai.

Menurutnya, dia menarik tudung mangsa dan mendapati kepalanya pecah, selain banyak serpihan kaca bertaburan di atas lantai.

Ahmad Zaini berkata, dia sangat terkejut dan terus memaklumkan kepada jiran berdekatan tentang perkara tersebut.

“Salah seorang jiran terus buat laporan polis, manakala saya hubungi menantu mangsa memaklumkan perkara tersebut,” katanya yang sudah tiga tahun berjiran dengan mangsa.

Ketika ditanya berhubung motosikal yang dilihatnya sebelum itu, beliau berkata, motosikal itu sudah tiada ketika dia pergi ke rumah mangsa.

Menurutnya, dia berasa sedih dengan kejadian yang berlaku, kerana selama ini, dia dan isteri diamanahkan oleh tiga anak mangsa untuk menjaga dan menjenguk keadaannya kerana mereka tinggal berjauhan termasuk seorang di Arab Saudi.

“Selalu saya belikan dia barang atau makanan dan dia akan masak sendiri. Tapi tak sangka perkara sebegini menimpanya,” katanya.

Keluarga kerap datang melawat

Menantu mangsa, Zunfar Mohd Saad, 45, yang tinggal di Kajang berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas jirannya menghubungi melalui telefon kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, dia dan suami yang merupakan anak bongsu mangsa kerap datang melawat kerana mereka yang tinggal paling dekat dengan rumah mangsa.

“Kami memang selalu pesan pada jiran untuk tengok-tengokkan emak sebab dia tinggal seorang. Tapi tak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Maut akibat dipukul objek tumpul

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan mangsa dibunuh antara jam 7.30 pagi ke 10 pagi semalam.

Menurutnya, pemeriksaan awal menunjukkan terdapat dua kesan kecederaan pada kepala mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

“Tiada sebarang senjata yang digunakan dalam kejadian ditemui dan premis juga tidak dipecah masuk.

“Keadaan rumah berselerak dipercayai digeledah suspek dan hanya barangan kemas mangsa dikenal pasti hilang. Setakat ini, kita percaya individu yang menyerang mangsa hanya seorang,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -sinarharian

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. Malaysia Edition also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of Malaysia Edition.

Leave a comment

XHTML: You can use these html tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Fat burning food